Berita Terkini

Kenapa AUD/USD Gagal Mengukuh Walaupun Data Imbangan Dagangan China Meningkat?

Matawang dolar Australia gagal mengekalkan pengukuhan dengan bergerak lemah pada sesi pasaran Asia pagi ini walaupun sentimen pasaran kembali pulih.

Turut menghairankan pelabur apabila Aussie kekal lemah setelah bacaan data imbangan dagangan China menunjukkan bacaan yang meningkat lebih baik berbanding jangkaan.

Namun jika diteliti pada komponen data, walaupun imbangan dagangan menunjukkan peningkatan, kadar import yang menurun memberikan isyarat permintaan domestik yang lemah.

Hal ini akan menimbulkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan bagi ekonomi kedua terbesar dunia tersebut.

Atas faktor China sebagai rakan dagang terbesar, Australia cukup sensitif terhadap ekonomi China di mana kebiasaan nilai matawang Aussie akan bergerak dipacu oleh kesihatan ekonomi China.

Sebelum itu, kenyataan polisi monetari oleh bank pusat Australia (RBA) turut dikeluarkan. RBA masih mengekalkan unjuran pelonggaran polisi yang lebih lanjut yang turut mendorong penurunan pada nilai Aussie.

Melihat pergerakan harga pada carta pasangan matawang AUD/USD sejak minggu lalu, harga bergerak mendatar dalam julat sekitar 50 pips di bawah paras ketinggian 0.69300.

Harga yang menguji zon resistance di bawah paras ketinggian tersebut gagal tembus ke paras lebih tinggi sebaliknya bergerak menurun ke paras support sekitar 0.68800.

Pada sesi Asia semalam, harga membuat penurunan ke paras lebih rendah hampir mencecah paras 0.68600 sebelum harga kembali melonjak susulan laporan positif rundingan dagang AS-China di mana kedua-dua negara bersetuju untuk tindakan pembatalan tarif.

Selepas mencapai paras ketinggian harian pada 0.69100, harga kembali membuat penurunan dan berlegar di atas garisan sokongan Moving Average 50 (MA50).

Bersambung pada sesi Asia pagi ini, harga bergerak turun lebih rendah dari garisan MA50 sebelum menguji kembali paras support 0.68800 menuju pembukaan sesi pasaran Eropah.

Jika penurunan harga diteruskan, harga berkemungkinan menuju paras tumpuan pada sekitar zon RBS (resistance become support) 0.68500 atau lebih rendah lagi menuju zon RBS lebih rendah pada 0.68300.

Penurunan seterusnya akan menguji zon support pada 0.68100 yang diuji pada dagangan Oktober lalu.

Namun jika harga menunjukkan kenaikan semula, paras resistance pada 0.69300 harus ditembusi harga untuk mencatatkan paras ketinggian terbaru.