Berita Terkini

Sentimen Optimis Pada Dagangan Penghujung Minggu- Ini Kesan Kepada Dolar USD!

Perkembangan perdagangan AS dan China kekal menjadi pemacu utama pergerakan matawang pada penghujung minggu. Pasaran yang pada mulanya suram disebabkan desakan China untuk pembatalan tarif dan penangguhan pertemuan kedua-dua pemimpin negara itu, kembali bertukar positif dengan kenyataan terbaru oleh China.

Kementerian Perdagangan China telah mengeluarkan satu kenyataan dengan mengatakan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China telah bersetuju untuk membatalkan tarif sedia ada ke atas barangan masing-masing.

Susulan daripada itu, sentimen telah mendorong dolar USD untuk melonjak naik mencecah paras tertinggi lima bulan berbanding yen. Indeks dolar berbanding enam matawang utama lain pula menokok kepada $98.136.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa berita yang bercanggah dengan perkembangan ini termasuk Penasihat Kanan Ekonomi AS Larry Kudlow yang menyatakan ada konsesi yang sukar jika perjanjian perdagangan fasa pertama ditandatangani.

Penyusutan dalam dolar Australia dan New Zealand pada awal dagangan sesi Asia hari ini mencerminkan pasaran yang berhati-hati berikutan daripada kenyataan tersebut.

Sementara itu, pound diniagakan menghampiri paras terendah dalam dua minggu apabila dua ahli Bank of England (BoE) mengundi untuk memotong kadar faedah disebabkan ketidakpastian terhadap Brexit manakala tujuh orang ahli lagi mengundi untuk menetapkan polisi tidak berubah.

Menurut Gabenor Carney, risiko mengenai unjuran ekonomi terbaru BoE adalah ‘cenderung kepada kelemahan’, menggambarkan bahawa perubahan seterusnya dalam polisi monetari akan membawa kepada pemotongan kadar faedah.

Bank pusat itu juga telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020 dan 2021 dan unjuran inflasi jangka pendek yang semuanya berdasarkan satu pemotongan kadar dalam tempoh tiga tahun akan datang.